Wednesday, November 25, 2009

KTM baru......

SELAMA ini, kereta api sering dilabel sebagai pengangkutan yang amat
perlahan di negara ini berbanding dengan pengangkutan yang lain. Persepsi
itu akan menjadi tidak begitu relevan apabila kereta api
elektrik Electric-Train-Set (ETS) dijangka beroperasi April tahun depan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menerima kereta api ETS pertama
awal Disember ini.

Dengan kelajuan yang lebih tinggi dan reka bentuk lebih aerodinamik, ETS
mampu menawarkan perjalanan yang lebih singkat. Perjalanan dari Kuala Lumpur
(KL) ke Ipoh, Perak misalnya mengambil masa hanya
satu jam 55 minit, satu jangka masa yang mungkin membuatkan anda berfikir
dua kali untuk memandu kereta sendiri ke destinasi tersebut.

Jika sebelum ini, perjalanan dengan kereta api lokomotif diesel dari KL ke
Ipoh mengambil masa hampir tiga jam atau pemanduan darat yang lain mengambil
masa dua jam 30 minit, apa yang ditawarkan ETS
kelak dilihat mampu mengubah senario perkhidmatan kereta api di Malaysia.
Tidak mustahil akan wujud kelompok masyarakat yang bekerja di Kuala Lumpur
tetapi menetap di Ipoh atau sebaliknya.

Untuk permulaan, perkhidmatan kereta api ETS melibatkan perjalanan
Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban. Ia bakal dipanjangkan ke laluan Ipoh-Padang
Besar di Perlis serta Seremban-Gemas di Negeri Sembilan
apabila landasan berkembar elektrik di laluan itu siap pada tahun 2013. ETS
mampu menawarkan perkhidmatan pada kelajuan 140 kilometer sejam (140kmj).

REKAAN dalaman ETS yang lebih selesa dan kondusif berdasarkan ilustrasi.

Tren elektrik itu menggunakan motor elektrik dan mempunyai banyak kelebihan
berbanding dengan tren lokomotif diesel. Ia lebih lancar, mesra alam, lebih
senyap dan lebih laju.

"Kami melihat terdapat permintaan perkhidmatan kereta api yang amat
menggalakkan daripada orang ramai. Misalnya, untuk laluan Ipoh-KL pada hari
Jumaat, Sabtu dan Ahad, tiket selalunya habis dijual.
Kami merasakan pengenalan perkhidmatan ETS kena pada masanya kerana pasaran
ini boleh dikatakan sudah ada," kata Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan
kepada Infiniti ketika ditemui di pejabatnya di
Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Ia mampu menjimatkan perjalanan selama satu jam berbanding dengan
perkhidmatan kereta api biasa sebelum ini," tambahnya sambil menjelaskan
sistem ETS adalah dari Jepun tetapi pembinaan kereta api
dilakukan di Korea Selatan. Perkhidmatan kereta api ETS akan dimulakan
setelah lima buah kereta api ETS yang datang secara berperingkat diterima
KTMB.

Aminuddin bagaimanapun menjelaskan ETS bukanlah kereta api elektrik pertama
KTMB. KTMB telah mula menggunakan kereta api elektrik iaitu Electric
Multiple Unit (EMU) sejak tahun 1995 dan ia
kebanyakannya digunakan dalam perkhidmatan KTM Komuter.

"Tetapi ETS lebih laju, lebih hebat dan lebih aerodinamik daripada EMU. ETS
juga digunakan untuk perjalanan yang lebih jauh. Jika EMU hanya tiga
gerabak, ETS lebih panjang dengan menawarkan enam
gerabak. Kami berharap dengan ETS, kami dapat menyediakan perkhidmatan yang
lebih baik kepada orang ramai," katanya.

AMINUDDIN menjangkakan ETS bakal menaikkan imej KTMB dan pencetus perubahan
awal kepada senario pengangkutan kereta api perjalanan jauh di Malaysia.

Tambah Aminuddin, ETS mempunyai reka bentuk dalaman yang menarik, dilengkapi
pendingin hawa, televisyen LCD, ciri mesra pengguna kurang upaya dan ciri
keselamatan Automatic Train Protection System.

"Untuk memastikan pemandu sentiasa peka dalam pemanduan, pemandu ETS
dikehendaki menekan satu butang setiap 30 saat bagi menunjukkan mereka
sedang memberikan sepenuh konsentrasi. Sekiranya mereka
tidak menekan butang itu, tren akan bergerak perlahan dan berhenti," kata
Aminuddin sambil memberitahu ETS berkapasiti 350 penumpang.

Cuma, disebabkan ETS berkelajuan tinggi dan menggunakan landasan elektrik
maka orang ramai yang tinggal berdekatan landasan kereta api elektrik perlu
mempertingkat tahap waspada. Dengan penggunaan
tenaga elektrik sebesar 25 kilowatt, ia boleh memberikan renjatan elektrik
yang amat teruk sekiranya kanak-kanak bermain layang-layang dan ia
tersangkut di pencawang elektrik landasan.

Kos pembinaan landasan berkembar elektrik juga tinggi. Disebabkan itu,
peluasan landasan berkembar elektrik ke seluruh Semenanjung Malaysia juga
perlu dinilai berdasarkan keperluan. Bernama pernah
melaporkan, KTMB melabur sebanyak RM15.7 bilion bagi keseluruhan projek ETS
yang melibatkan landasan keretapi sepanjang lebih 700 kilometer.

"Ini semua bersifat timbal balik. Kami ingin memberikan perkhidmatan yang
lebih baik dan efisien kepada pengguna dan kami mahu membuat kehidupan orang
ramai lebih mudah. Justeru, pelaburannya juga
perlu setanding. Bayaran tambangnya juga perlu dinaikkan sesuai dengan
kemudahan yang diberikan. Bagaimanapun, kami belum menetapkan tambang yang
bakal dikenakan untuk ETS," katanya sambil turut
menjelaskan perkhidmatan kereta api di negara ini dilihat lebih terkehadapan
berbanding dengan kebanyakan negara jiran.

Katanya, KTMB menjangkakan ETS bakal menarik perhatian lebih ramai golongan
profesional dan ahli perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan kereta api.

GAMBAR ilustrasi menunjukkan rekaan dalaman ETS yang mesra pengguna termasuk
golongan kurang upaya.

"Berasaskan kemudahan yang lebih selesa dan perkhidmatan yang lebih laju, ia
boleh menarik lebih ramai komuniti profesional dan ahli perniagaan yang
sering berulang-alik ke destinasi-destinasi
terlibat," katanya.

Seiring dengan imej ETS yang moden, Aminuddin berharap ETS dapat
meningkatkan imej KTMB.

"Saya berharap ETS dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada
orang ramai. Dengan imej baru ini, KTMB dapat mencetuskan budaya kerja yang
lebih proaktif, dinamik dan mesra pelanggan,"
ujarnya.

No comments:

Post a Comment